Pengenalan ICT dalam Pembelajaran
Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
telah memberikan banyak impak positif kepada pelbagai bidang perindustrian
termasuklah dunia pendidikan. Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang
menjadikan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar seperti komputer riba,
cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan pembelajaran dan pelbagai
alat bantu mengajar yang lain. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk setiap
pendidik menggunakan pelbagai alat bantu mengajar sama ada yang berbentuk peralatan
mahupun perisian bagi membantu merangsang dan meningkatkan minat dan
kecenderungan murid terhadap sesuatu topik pembelajaran. Pengajaran dan
pembelajaran adalah fokus utama pihak pengurusan pendidikan kebangsaan sama ada
di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah. Justeru,
pihak pengurusan pendidikan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat
kebangsaan sentiasa mencari alternatif atau kaedah pengajaran dan pembelajaran
terbaik dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu proses pengajaran dan
pembelajaran (Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi teknologi
maklumat dan komunikasi atau juga dikenali dengan gelaran ICT adalah antara
usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah dan menengah.
Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran
terhadap murid yang mengikuti Program Pemulihan Khas merupakan satu perkara
yang tidak hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid, malah
dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). Koh Boh Boon
(1982) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan sekiranya diteliti dengan lebih
mendalam, sifatnya adalah lebih terbatas dan lebih khusus kerana ianya
bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran murid. Pelaksanaan program ini
melibatkan murid-murid lambat iaitu mereka yang lembap atau lambat mencapai
matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-murid lain yang sebaya
dengan mereka. Oleh yang demikian, selaras dengan perkembangan dan kemajuan
teknologi semasa, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) digunakan untuk
membantu murid-murid ini dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik dan
memajukan diri seperti mana yang dicapai oleh Murid-Murid lain khususnya yang
sebaya dengan mereka.
No comments:
Post a Comment